Friday, March 25, 2011

.Penting Sangat Ke Straight A?.

Assalamaualaikum.

Dua hari lepas keputusan SPM 2010 dikeluarkan. Maka bagi pelajar-pelajar yang selama ni dah puas mengerah otak, study siang-malam sampai nak makan pun kadang-kadang lupa mula rasa cuak samada pengorbanan tu berbaloi atau tak.

Dan simptom kecuakan turut dirasai ibubapa pelajar-pelajar terbabit yang tak lupa doa siang malam, sembahyang hajat, dan ada tu berpuasa sunat sepanjang anak mereka exam dengan harapan segala usaha anak mereka diberkati oleh DIA.

Kat pejabat aku tak kurang tempias kecohnya, pada staf-staf yang anak mereka ambil SPM. Masing-masing membanding result antara satu sama lain. Ada yang 4A. Ada yang 6A. Ada yang 9A. Kira okeylah, keputusan memberangsangkan memandangkan mereka semua jenis yang workaholic gila, and aku rasa they do not really have much time to spend dengan diaorang.

Dulu aku SPM tak cemerlang sangat. Aku dapat 5A 3B 3C. Aku bukan pelajar cemerlang. Aku budak average. Okelah, bukan kategori bodoh, bukan jugak kategori genius. Kategori otak mampu berfikir elok-elok lagi.

[straight A's bukan penentu akal seseorang.]

Yang jadi masalah zaman sekarang ni, aku tengok terlalu banyak lambakan pelajar yang dapat straight A's. Jadi what do you expect bila kau dengar si polan si polan dapat A semuanya.

Adakah dia dah capai tahap genius?

Adakah dia memang pintar?

Pada aku zaman sekarang, untuk mendapatkan A tu dah jadi senang. Boleh dikatakan gred juga mungkin diturunkan, sebab sasaran kerajaan sekarang ni, kalau tak silap aku, satu rumah satu graduan. Jadi sekurang-kurangnya mesti ada seorang dalam setiap family yang masuk universiti.

Jadi untuk mencapai target itu, sesuatu perlu dilakukan agar pelajar-pelajar ini mudah diterima masuk ke universiti seterusnya akan terlahir ramai graduan dan mungkin satu hari nanti Malaysia boleh dikelaskan sebagai negara berpendidikan tinggi dengan peratus graduan makin meningkat dari hari ke hari.

Cuma satu yang aku nak tekankan, berapa banyak A pun yang kau dapat hari ini, bukan menentukan apa yang kau akan jadi masa akan datang nanti. Mungkin kau tengok ada budak tu dapat result macam sampah, tapi tak mustahil budak itu nanti yang lebih berjaya akan datang, kalau kena dengan caranya.

Banyak orang berebut target nak straight A sebab apa? Selain daripada boleh berbangga dengan result, mana tau ada nasib dapat scholar kerajaan, jadi boleh belajar ke luar negara dengan percuma.

Aku dah tengok ramai kawan-kawan aku yang bukan budak straight A, tapi berjaya sampai sekarang. Yang pergi oversea pun ramai. Kalau bukan lepas SPM, diaorang pergi lepas Ijazah, dapat sambung Master. Yang dapat straight A (ataupun at least result kencang), dapat kursus yang entah apa apa sebab mereka-mereka yang cemerlang ni kan akan dapat masuk matriks.

Lepas tu tau jelah matriks kan, kalau result out sikit, nanti kau dihumban dapat bagi kursus yang entah apa-apa. Ada lagi teruk, tak dapat masuk universiti pun, dah habis masa sekurang-kurangnya setahun kat matriks.

Aku pun dulu bekas budak matriks jugak. Tapi aku buat separuh jalan. Nasib aku baik sebab dapat tawaran universiti walaupun masuk matriks (dulu siapa dah masuk matriks, takkan dapat tawaran universiti dah), jadi aku ambil keputusan untuk keluar matriks walaupun baru sebulan duduk situ.

Sebab apa aku keluar? Sebab aku tau kemampuan aku. Aku tak cukup genius untuk dapat 4 flat kat matriks. Sebab aku bukan jenis yang study hard. Aku cuma reti study smart. Dan yang penting sekali aku taknak end-up nanti, aku dapat kursus yang aku tak minat. No way! Mujur kos yang aku dapat, antara kursus yang aku minat. Alhamdulillah lah jugak.

Alhamdulillah, masa kat universiti aku boleh perform dengan baik. belajar dengan gembiranya tanpa tekanan macam kat matriks. Dan merasalah jugak aku dapat 4 flat :) Nanti aku bagi tips kat adik-adik macamana nak dapat 4 flat masa kat universiti. Rasa bangga jugaklah. hehe.

Jadi adik-adik, kesimpulannya siapa yang dapat result kaw-kaw tu jangan persiakan, pilih kursus yang tepat dan jangan korbankan masa depan anda dengan tersalah pilih kursus. Pada yang agak kurang berjaya, jangan sedih, percayalah Tuhan sudah simpankan rezeki yang lebih baik untuk awak akan datang nanti :)

Yang penting, kena percaya kebolehan sendiri, berusaha dan jangan berhenti 'minta' pada DIA. InsyaAllah pasti menjadi.


Selamat berhujung minggu!

Monday, March 21, 2011

.Betul-betul Kahwin.

Assalamaualaikum.

Sempena cuti sekolah ni, banyak sungguh undangan perkahwinan yang aku dapat. Tapi tak semua aku dapat pergi. Aku kan kat KL, tapi kawan-kawan aku yang kawin mostly dekat Johor. So kalau diaorang kawin sama timing dengan aku balik kampung, dapatlah aku pergi.

Sedar tak sedar, dah 4 bulan lebih aku kahwin. 4 bulan lebih bergelar isteri orang. Sekejap sangat masa berlalu macam tak percaya. Bila aku tengok gambar-gambar kahwin, macam baru semalam je majlis tu berlaku :)

Bukanlah tempoh perkahwinan yang boleh dibanggakan, setakat baru kahwin 4 bulan, bukan 4 tahun atau 40 tahun pun kan. Tapi aku cuma nak kongsikan yang banyak benda yang aku dah alami sejak 4 bulan berkahwin ni.

Transformasi hidup aku mula berlaku daripada seorang bujang kepada isteri orang. Oh ya, lupa aku nak bagitau, walaupun berkahwin, aku dan Irwan adalah PJJ (Pengantin Jarak Jauh). Hinggalah ke minggu lepas, baru kami mulakan hidup sebagai suami isteri dengan erti kata sebetulnya. Tinggal sebumbunglah :)

Oh lupa lagi nak bagitau, Irwan dah dapat kerja baru kat sini. Yeayyyy! Alhamdulillah, rezeki senang dapat kerja. Macamana plan kerja aku kat JB tu? Takde rezeki aku. Bukan aku tak mencuba, siap pergi interview lagi, tapi tak berjaya. Mungkin Tuhan sudah takdirkan aku dengan Irwan mulakan hidup di kota metropolitan ni.

Mula-mula aku rasa macam kekok bila tinggal sebumbung. Yelah selama ni kahwin, Irwan datang pun jarang-jarang. Selalu kami jumpa samada kat rumah keluarga aku atau rumah keluarga dia. So bila Irwan ada kat sini, aku rasa macam pelik lah.

Bila masuk rumah, ada orang lain. Macam rasa ada 'stranger' pulak. hehe. Paling obvious bila kita bangun tidur ada orang kat sebelah. Selalu aku tidur peluk Pinky je. Tapi kali ni tuan Pinky ada sebelah :P :D

Lepas tu dalam hati, aku macam wonder macamana aku nak act depan Irwan bila tinggal serumah. Bukan aku pretend nak jadi isteri solehah, cuma tengah cuba biasakan keadaan. Yelah aku ni kan kuat pot-pet, so aku kena bersembang sepanjang masa ke nanti? Atau ada masa aku kena senyap? Kan jadi sunyi pulak kalau dua-dua senyap kan.

But when it comes to the day kita tinggal sebumbung. All those things come naturally. Tak payah fikir banyak, just go with the flow. Dan cuba sebaiknya untuk jadi isteri yang sempurna. Sempurna maksud aku bukan cuma pandai melayan suami di tempat tidur *18sx*, tapi sempurna segalanya (rupa paras tolak tepi) dalam melakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri dalam menguruskan rumahtangga.

Setakat ni, alhamdulillah I can cope with, walaupun aku seorang wanita berkerjaya, tapi masih mampu melakukan tugas dengan baik. Apa yang penting kat sini adalah suami isteri kena bertolak ansur dalam hal rumahtangga ni. Buat masa sekarang Irwan belum start kerja baru dia, jadi dia memang duduk rumah jelah.

Thank to Allah sebab aku dikurniakan seorang suami yang agak ringan tulang, dan tahu bertolak-ansur dalam mebuat kerja-kerja rumah. Contohnya masa aku pergi kerja, Irwan tolong basuhkan baju, sapu sampah dan membersihkan apa yang patut. Dan aku pulak bila balik kerja, akan tanya menu apa yang dia nak makan untuk dinner, dan akan mula prepare untuk masak.

[sekarang aku dah jadi chef :) ]

Nasib baik Irwan jenis tak cerewet dalam bab makanan, dia tak kesah makan apa pun, yang penting SEDAP! Itu keyword paling penting, dan bersyukur jugak sebab aku dikurniakan bakat memasak semulajadi yang mana aku punya tunas rasa boleh digunapakai dengan elok :)

Aku mula-mula takut nak masak untuk Irwan sebab takut kena komplen tak sedap ke, tapi bila dia angkat thumbs-up dan cakap sedaaaaaaaaaaaaaaap, fuhhh! lega kau!

Banyak kali aku tanya, "Yeke? Or nak ambil hati I ni." dan "Eleh mestilah you cakap sedap sebab I wife you.".

Dia cakap, "Tak, serius sedap. Kalau tak sedap I orang pertama akan komplen." :) *kembang hidung :P

Rasa macam puas masak lepas tu dan sekarang aku macam ketagih nak masak. Banyak lagi masakan aku nak cuba. Aku request kat Irwan untuk belikan aku oven or microwave lepas ni. Nanti boleh lah aku start baking! :)

Terima kasih Tuhan bagi aku rasa kemanisan berumahtangga ini, InsyaAllah aku akan cuba menjadi isteri yang terbaik.

Wednesday, March 16, 2011

.Berkenyang-kenyang di Jake's Charbroil Steaks.

Assalamualaikum.

Fuhh..banyak betul habuk kat belog aku ni. Dah bersawang dah. Lama sungguh tak menulis. Semalam hari jadi bos aku yang tersayang, Kak Ita. Jadi unit aku bergabung dengan unit lagi satu telah membuatkan surprise kepadanya dengan menghadiahkan sekotak cokelat handmade (yelah tiap-tiap tahun asik bagi kek boring gak kan) yang sangat cantik!

Sila tengok bawah.

Cantik bukan?

Yang kat tengah tu boleh dibuka penutup kotaknya. Dalamnya ada cokelat lagi. *meleleh air liur :P

Dan setiap orang dapat cokelat oreo. Sedap gila kot! Tak manis, tak tawar sangat. Just perfect.


Lepas acara memakan cokelat di pejabat, kitaorang pergi lunch dekat Jake's Charbroil Steaks @ Medan Damansara. Ada 10 orang semuanya yang pergi.

Aku tak pernah makan kat sini, so mula-mula macam takde idea nak makan apa. Lagi-lagi bila tengok harganya, mak aih boleh tahan mahalnya. Terus telan air liur -_-

Mari scroll ke bawah. Gambar-gambar seterusnya akan bercerita sendiri :)




Cuma ada 2 cawangan sahaja di KL ni. Sila baca alamat tertera.


Ini adalah Salmon. Dihidangkan bersama fries, hirisan lemon, compact herbs cheese beserta caviar di atasnya. Sedap. Salmon nya well-cooked, perfect! RM 38.90.

Sebagai appertizer, ini adalah Mexican Nachos. Pun sedap! Diperisakan dengan sangat baik sekali. Ada lagi satu appertizer iaitu Crispy Potato Skin, tak sempat ambil gambar, tapi itu pun sedap tau :) Nachos (sepinggan) - RM16.90. Crispy Potato Skin (sebiji) - RM 9.90.


Yang ini kawan aku makan, Charbroiled Fish Fillet. Sangat sedap bila dimakan dengan sour sauce. Potongan fillet yang sempurna dan diperisakan dengan baik. RM 22.90.

Ini pulak Charbroiled Chicken Breasts. RM 22.90. Perisanya lebih kurang sama macam fish fillet tadi.


Yang ini secretary big bos makan. Namanya Aust. Rib Eye (200g). RM58.90.
Dagingnya well-cooked, tapi rempahnya pada aku agak kurang menyerap. Tapi kalau dimakan dengan sos cili, terus jadi sedap! :)

Jeng! Jeng! Ini yang aku makan, Chicken Garlic Mushroom. RM32.90. Sayuran yang fresh menambahkan kesedapan masakan. Kentang bakar sangat sedap bila dimakan dengan sour cream dan ditabur serbuk bacon. Kuah ayam adalah campuran garlic yang di sautee kan bersama cendawan dan cheese.

Sangat sedap and really my taste! :)

Harga air bermula RM5.00 ke atas kalau tak silap, dan air kosong adalah FOC :) Best kan.

Kitaorang makan, big boss yang bayar dulu. Kitaorang bayar semula lepas bonus. haha. Bertambah best :P


Jadi pada sesiapa yang ada duit lebih dan rasa macam nak menjamu rakan-rakan dan keluarga tercinta, boleh lah datang ke sini ya. Tempatnya pun okey, dan khidmat valet parking juga disediakan.

Selamat Mencuba! :)

Wednesday, March 9, 2011

.Atas Jalan Tuhan.

Kadang-kadang, Tuhan memang sengaja timpakan badai,
untuk tengok kau tahan atau tidak bila dilambung kuat.
untuk tengok tahap tinggi mana keimanan kau pada Dia.
untuk tengok tebal mana sabar kau bila diuji.

Dan aku sebagai manusia tipikal,
kadang-kadang melatah jua,
kadang-kadang lupa jua,
kadang-kadang mengalah terus.

Tapi bila bangkit, bila fikir dalam-dalam,
aku sebenarnya masih untung,
masih dikelilingi mereka-mereka yang penuh sayang aku,
mereka-mereka yang pasti sama berjuang dengan aku.

Ya Allah Yang Maha Terhebat,
Aku bersyukur atas segala ujianMu.
Tandanya Kau masih sayang aku,
Tandanya Kau masih sudi pandang aku.
Walau kadang-kadang aku khilaf,
InsyaAllah akan aku kekal istiqamah pada suruhanMu.

Cuma aku minta, jangan Kau terus-terusan jatuhkan ujian berat,
yang mungkin satu hari nanti,
tak mampu aku hadapi.

Dan aku tetap percaya,
Tuhan tak datangkan ujian yang tak mampu dihadapi oleh makhlukNya.

Friday, March 4, 2011

.Ayah Saya Bukan Superman.

Assalamualaikum.

Ayah saya bukan Superman,
tetapi seorang guru, yang ajar saya ilmu, bagaimana mahu jadi manusia yang sebenarnya.

Ayah saya bukan Superman,
tetapi seorang mekanik, yang mana bila saya tanya pasal kereta, dari A to Z dia boleh cerita.

Ayah saya bukan Superman,
tetapi seorang peguam, yang mana bila saya habis bicara, dia tolong bela.

Ayah saya bukan Superman,
tetapi seorang polis, yang mana bila saya salah, saya di tangkapnya.

Ayah saya bukan Superman,
tetapi seorang hakim, yang mana bila perkara perlu bicara, hukuman diberi seadilnya.

Ayah saya bukan Superman,
tetapi seorang doktor, yang mana bila saya sakit tak berdaya, sepenuhnya dia menjaga.

Ayah saya bukan Superman,
tetapi seorang pemandu, yang mana ke mana-mana sahaja dia sanggup membawa saya.

Ayah saya bukan Superman,
Ayah saya cuma seorang manusia.

Walaupun ayah saya bukan Superman,
dia tetap superhero saya.
.
.

Rasa lama sungguh aku tak menulis. Memang lama pun kan. Sampai tak sempat aku cakap bye pada Februari, tahu-tahu saja sudah Mac.

Minggu lepas masa aku pulang ke kampung, aku dikejutkan berita seorang kawan ayah aku yang hubungannya sangat rapat dengan keluarga aku dimasukkan ke ICU akibat pendarahan di otak selepas beliau jatuh dari bumbung rumahnya setinggi 16 kaki!

Beliau bukan seorang tukang rumah, tetapi cuba mahu membetulkan bumbung, sebab musim hujan di kampung aku setiap petang, tapi malang tidak berbau, kuasa Allah mengatasi segalanya.

Terkejutnya aku bukan kepalang. Pak cik Sanip, pada aku seorang yang sangat baik hatinya. Oh lupa aku nak beritahu, pak cik Sanip merupakan tukang masak sewaktu majlis perkahwinan aku dan kakak aku. Bukan sahaja majlis perkahwinan, malahan setiap kali majlis yang ada kat rumah aku, dialah tukang masaknya. Pada aku dia seorang tukang masak yang punya deria rasa yang cemerlang.

Jasanya pada keluarga aku memang banyak. Dia tak berkira orangnya, selalu membantu tak mintak bayaran dan akan beri pertolongan selagi masanya terluang.

Jadi malam Sabtu lepas, aku pergi melawatnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bersama mak, ayah dan atuk aku. Mulanya dia ditempatkan di Hospital Batu Pahat, tapi bila keadaannya semakin kritikal, dia dikejarkan ke HSA.

Sampai di hospital, bertambah sedih bila aku berjumpa anaknya yang masih muda, paling tua pun baru awal 20-an masih menuntut di universiti. Aku sampai kat hospital lewat, tapi dengan kebenaran makcik guard, kami dibenarkan masuk.

Aku masuk ke ICU dengan atuk aku. Sedihnya bila aku tengok keadaan pak cik Sanip, tak dapat aku cakap. Aku bukan nak berdrama kat hospital, tapi ikhlas air mata aku bergenang dan setitis-setitis jatuh.

Besarnya dugaan Allah pada hambaMu yang seorang ini. Aku tak sangka melihat orang yang aku kenal selama ini sihat-walafiat, kuat semangat dan sentiasa bantu orang keadaannya kritikal.

Darah mengalir ke setiap rongga otak dan organnya, sehingga meleleh keluar dari telinga dan mula masuk ke dalam mata. Tapi apa yang menakjubkan aku, pakcik Sanip tidak mengalami sebarang kecederaan tulang. maksud aku, tulangnya tidak patah atau retak walaupun sudah jatuh dari bumbung! Kuasa Allah.

Aku tak dapat bayangkan kalau ayah aku yang ada atas katil hospital tu. Aku cuma mampu doakan semoga Allah menyelamatkan pakcik Sanip kerana jasanya pada keluarga aku dan orang-orang kampung banyak sekali.

Hari ini aku dengar keadaannya semakin pulih selepas pembedahan dilakukan. Aku berharap pakcik Sanip lekas sembuh.

Bila memikirkan seorang sahabat baik aku kehilangan ayahnya tahun lepas, aku turut bersedih. Aku dapat rasakan macamana gelapnya dunia dia bila ayah dia pergi selamanya. Tapi bila aku melihat kecekalan dia, aku selalu ambil semangat tu untuk teruskan hidup.

Nasib kita, umur kita di dunia ini cuma Allah yang Maha Mengetahui. Aku cuma tak mahu jadi anak dan anak menantu derhaka, yang tak sempat memohon ampun maaf jika satu hari nanti ayah atau emak kandung dan mertua aku pergi buat selamanya. Nauzubillah.

"Ya Allah Kau sembuhkanlah pakcik Sanip dengan segera. Kasihanilah keluarganya,aku tidak mahu mereka hilang tempat bergantung. Sesungguhnya jasanya pada keluargaku dan orang kampung banyak sekali. Semoga Kau lindungi dirinya dan keluarganya, Amin".